PRA PELANCARAN (SOFT LAUNCH) GARIS PANDUAN PERANCANGAN (GPP) LALUAN KENDERAAN MIKROMOBILITI Memaparkan Pengumuman di Tab Baru

Shah Alam, 12 Mac 2023 - YB Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah, Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia telah menyempurnakan Prapelancaran (soft launch) Garis Panduan Perancangan (GPP) Laluan Kenderaan Mikromobiliti sempena Majlis Pelancaran Micromobility National Regulatory Sandbox dan Hari Keselamatan Kenderaan Mikromobiliti Peringkat Kebangsaan 2023. Prapelancaran ini disaksikan oleh TPr Haji Hassan bin Yaakob, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).
GPP Laluan Kenderan Mikromobiliti ini disediakan dengan kerjasama antara Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa) dan Kementerian Pengangkutan (MOT). Beberapa komponen dan elemen keselamatan yang dicadangkan akan diujipakai buat kali pertamanya melalui pelaksanaan sandbox mikromobiliti di Shah Alam.
Sebagai makluman, inisiatif sandbox dijalankan untuk menguji kebolehlaksanaan penggunaan kenderaan mikromobiliti dari aspek perundangan, penguatkuasaan, pengurusan pengendali operator perkhidmatan, kesesuaian lokasi dan infrastruktur serta tingkah laku pengguna jalan raya dan persekitaran. Turut dilancarkan pada majlis tersebut adalah Shared Micromobility Reference Guide dan Pedestrian Safety Guideline.
 
Diterbitkan pada 6 Oktober, 2022 Diterbitkan Oleh Administrator