Kuala Lumpur, 22 Mac 2023 - Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (PIRECFS) 2022 telah diserahkan oleh Yang Berhormat Tuan Nga Kor Ming, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan kepada YAB Dato’ Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri dalam satu majlis pelancaran bersempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2023 dan Mesyuarat Pertama Majlis Biodiversiti Negara. Tujuan majlis pelancaran ini adalah untuk menyerahkan dokumen PIRECFS 2022 kepada agensi utama diperingkat Persekutuan iaitu Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta 8 Negeri melibatkan Negeri Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan. Terdahulu PIRECFS 2022 telah diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-40, Bilangan 1/2022 pada 20 Julai 2022. Ia merupakan kajian semula kepada pelan induk yang telah dihasilkan pada tahun 2010.
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) dengan kerjasama strategik Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia telah menyediakan PIRECFS 2022 antara lain bertujuan untuk menghubung, mengekalkan dan memelihara serta memulihara kawasankawasan hutan yang terpisah di Semenanjung Malaysia agar wujud satu rangkaian fizikal hutan yang bersambungan di seluruh kawasan Central Forest Spine (CFS).