Rancangan Fizikal Negara

RANCANGAN FIZIKAL NEGARA

RFN adalah satu pelan perancangan pembangunan negara yang menterjemah dan menyelaraskan dasar-dasar pembangunan ekonomi, sosial dan sektoral lain ke dalam dimensi fizikal dan spatial. Dasar yang terkandung di dalam RFN akan diterjemah di peringkat perancangan wilayah / negeri melalui rancangan struktur negeri dan rancangan pembangunan koridor ekonomi. Dasar ini juga boleh diterjemahkan di peringkat perancangan tempatan melalui rancangan tempatan / rancangan kawasan khas yang disediakan.

KAWASAN PERANCANGAN RFN4

Kawasan perancangan RFN4 hanya merangkumi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan tidak termasuk Sabah dan Sarawak kerana negeri-negeri tersebut tidak mengguna pakai Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dan telah mempunyai Pelan Struktur Negeri. Di bawah perkara 95e, Perlembagaan Persekutuan Negeri Sabah dan Sarawak tidak termasuk dalam rancangan negara bagi penggunaan tanah, kerajaan tempatan dan sebagainya.

KONSEP STRATEGIK PERANCANGAN RFN4

Konsep Strategik Perancangan RFN4 mengguna pakai konsep Ekosistem Spatial yang Komprehensif (Comprehensive Spatial Ecosystem, (CSES) dengan penekanan kepada penggunaan tanah secara optimum, fokus pembangunan ekonomi di kawasan pertumbuhan utama, meningkatkan ketersambungan antara wilayah melalui rangkaian perhubungan yang bersepadu serta pemeliharaan dan pemuliharaan aset ekologi dan pertanian.

MATLAMAT RFN4

RFN4 telah membentuk satu rangka kerja perancangan yang mampu memberi sinergi terhadap landskap perancangan fizikal negara. Bermatlamatkan Malaysia Makmur, Berdaya Tahan dan Sejahtera, dokumen ini akan bertindak sebagai instrumen dalam merasionalkan aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, RMKe-12 dan dasar-dasar strategik sektoral.

 

TERAS PEMBANGUNAN

Teras 1 Pertumbuhan Dinamik dan Seimbang

Strategi pembangunan spatial yang lebih fleksibel penting untuk mengukuhkan kedudukan strategik negara dan memacu pembangunan ekonomi negara yang lebih berdaya saing . Perancangan keselamatan negara turut diperkukuh . Ini disokong dengan rangkaian pengangkutan yang bersepadu dan meningkatkan penyediaan infrastruktur digital dan pintar . Teras Pertumbuhan Dinamik dan Seimbang mempunyai empat ( 4 ) hala tuju strategik iaitu : -

PD 1: Pengukuhan Kedudukan Strategik Negara di Peringkat Global

PD 2: Pertumbuhan Ekonomi Mampan dan Berdaya Saing

PD 3: Rangkaian Hubungan Pengangkutan Strategik dan Bersepadu

PD 4: Peningkatan Infrastruktur Digital dan Pintar

Teras 2 Kemampanan Spatial dan Daya Tahan Perubahan Iklim

Kemampanan spatial dan daya tahan perubahan iklim memberi tumpuan kepada perancangan guna tanah holistik, pengurusan sumber negara secara mampan yang disokong oleh pembangunan ke arah negara neutral karbon . Teras Kemampanan Spatial dan Daya Tahan Perubahan Iklim mempunyai tiga ( 3 ) hala tuju strategik iaitu:

KD 1: Perancangan Guna Tanah Holistik

KD 2: Pengurusan Mampan Sumber Asli, Sumber Makanan dan Sumber Warisan

KD 3: Pembangunan ke Arah Negara Neutral Karbon

Teras 3 Persekitaran Berdaya Huni dan Komuniti Inklusif

Perancangan komprehensif yang mengambil kira keperluan fizikal bagi persekitaran kehidupan manusia untuk semua peringkat umur penduduk menerusi kebersamaan komuniti dalam pembangunan ke arah mencapai kesejahteraan sejagat . Komuniti inklusif dan berdaya huni merupakan elemen penting ke arah mencapai perancangan pembangunan yang sejahtera dan makmur . Teras Persekitaran Berdaya Huni dan Komuniti Inklusif mempunyai empat ( 4 ) hala tuju strategik iaitu :

KI 1 : Perancangan Penyediaan Perumahan untuk Semua Masyarakat

KI 2:Pembentukan Masyarakat Berpendidikan yang Berdaya Saing secara Menyeluruh

KI 3: Persekitaran yang Kondusif dan Berdaya Huni

KI 4: Perancangan dan Pembangunan Mesra Komuniti

INISIATIF STRATEGIK UTAMA

RFN4 telah menggariskan empat (4) inisiatif iaitu:

  1. Perlindungan Kawasan Sumber Jaya Alam Semula Jadi dan Jaminan Sekuriti Makanan Negara
  2. Pemberian Insentif Fiskal Bagi Pemeliharaan Kawasan Sumber Jaya Alam Semula Jadi dan Jaminan Sekuriti Makanan Negara
  3. Penubuhan Jawatankuasa Perancang Wilayah Baharu Untuk Penyelarasan Guna Tanah Antara Negeri
  4. Menjadikan Kawasan Perairan Negeri Sebagai Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan

 

KESIMPULAN

Rancangan Fizikal Negara Keempat (RFN4) memberi penekanan khusus dalam menentukan corak perancangan fizikal negara melalui pembentukan strategi dan tindakan khusus meliputi corak pembangunan guna tanah, pertumbuhan ekonomi, pengekalan dan pengurusan sumber, penyepaduan dan penambahbaikan rangkaian pengangkutan dan infrastruktur negara dan penaiktarafan kualiti hidup dan kesejahteraan negara ke arah Malaysia Makmur, Berdaya Tahan dan Sejahtera. Pelaksanaan RFN4 ini memerlukan komitmen semua pihak berkaitan khususnya kementerian dan agensi-agensi di peringkat persekutuan dan Kerajaan Negeri serta agensi-agensi yang berkaitan bagi memastikan perancangan dan pembangunan kawasan diselaraskan dengan strategi perancangan dan pembangunan RFN4.

Pautan Portal MyPLAN :

https://myplan.planmalaysia.gov.my/www/

Cetak Emel

mygovuc mygov  mampu min    hrmis min    anm min    sprm min    kpkt