Rancangan Tempatan (RT) Daerah Muar 2030 menjadi dokumen rujukan dalam memastikan pembangunan Daerah Muar pada masa hadapan adalah selaras dengan aspirasi Negeri Johor, Rancangan Pemajuan Nasional dan Agenda Pembangunan Baharu di peringkat global. Penyediaan RT ini selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 16(1) dan subseksyen 16(2), Akta Perancangan Bandar dan Desa, 1976 (Akta 172). Asas keperluan penyediaan RT Daerah Muar 2030 di antaranya adalah untuk menggantikan RT Daerah Muar 2020 yang telah tamat tempoh perancangannya selain bagi memastikan wacana pembangunan daerah selari dengan keperluan, dasar dan aspirasi semasa. Daerah Muar yang sinonim dengan Bandar Maharani, Bandar Diraja telah menetapkan Wawasan Pembangunan sebagai Bandar Warisan, Mampan dan Pintar sekaligus mensasarkan matlamat untuk menjadikan Muar sebagai Daerah Peneraju Pembangunan Ekonomi Wilayah Utara Negeri Johor Berteraskan Elemen Warisan, Teknologi Pintar dan Masyakat Rendah Karbon Menjelang 2030. Selain memperkukuhkan potensi Muar sebagai Bandar Diraja Terbersih, Warisan dan Semula Jadi dengan menekankan kebitaraan daerah yang berlandaskan kepada Aspiring Hub for Talent and Knowledge, beberapa hab telah dikenalpasti sebagai tunjang pembangunan utama iaitu hab pendidikan, hab nurseri dan akuakultur dan hab industri perabot. Tunjang pembangunan utama ini disokong oleh sistem perhubungan, kemudahan, infrastruktur dan utiliti serta pembangunan petempatan mampan dan berdaya huni. Dalam merealisasikan matlamat pembangunan Daerah Muar, RT Daerah Muar 2030 (Penggantian) yang disediakan membabitkan kerangka hala tuju dan strategi pembangunan di samping peta cadangan guna tanah untuk memandu pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi (Game Changers of Muar), projek quick win dan projek-projek sokongan dalam tempoh 2021-2030. RT Daerah Muar 2030 (Penggantian) telah mengarusperdanakan pelan tindakan iklim dan langkah masyarakat rendah karbon secara menyeluruh dan bersepadu, mengguna pakai metodologi dan model yang selaras dengan amalan antarabangsa dan diiktiraf oleh Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC), United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC) dan Global Covenant of Mayors for Climate & Energy (GCoM). Ini termasuklah penetapan dasar dan strategi RT Daerah Muar 2030 (Penggantian) dari peringkat permulaan lagi dan menggabungkan pelan tindakan iklim dan langkah-langkah masyarakat rendah karbon yang merangkumi / melangkaui semua teras dan sektor. Sehubungan itu, potensi pengurangan Green House Gases (GHG) menjelang 2030 mengikut sektor-sektor tertentu disasarkan kepada 7,187 ktCo2 setara atau 63 peratus pengurangan intensiti perlepasan karbon berdasarkan KDNK menjelang tahun 2030. Sebanyak 59 cadangan telah dicadangkan sebagai inisiatif Low Carbon Society (LCS) dan berpotensi untuk membantu pengurangan pelepasan karbon di Daerah Muar. |
|||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
Perincian dan maklumat lanjut, tuan/puan boleh memuat turun dokumen berkaitan untuk rujukan seterusnya:- | |||||||||||||||||||||||||||||||||||||||
|
Kemaskini pada 2022-12-20 11:36:54 daripada Administrator