T
    T
    T
    T
    T
    T

image

logo-jata
logo-jata

HEBAHAN KOD ETIKA DAN TATAKELAKUAN PLANMALAYSIA

Nilai dan etika kerja merupakan asas penting dalam membentuk warga organisasi yang berintegriti, berdisiplin, bertanggungjawab dan mempunyai jati diri yang tinggi. Kecemerlangan sesebuah organisasi bukan sahaja bergantung kepada sistem, teknologi dan proses kerja yang cekap, malah turut ditentukan oleh sikap, nilai dan tatakelakuan setiap warganya dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan.

Sehubungan itu, Kod Etika dan Tatakelakuan PLANMalaysia diwujudkan sebagai panduan dan rujukan kepada seluruh warga PLANMalaysia dalam memahami serta mengamalkan nilai, prinsip dan tingkah laku yang sewajarnya dalam melaksanakan tugas. Kod ini turut membantu warga jabatan membuat pertimbangan yang tepat dalam tindakan dan keputusan, khususnya apabila berhadapan dengan situasi yang memerlukan pertimbangan dari aspek integriti, etika, profesionalisme dan kepentingan awam.

Kod ini turut menggariskan pelbagai perkara berkaitan etika dan tatakelakuan warga PLANMalaysia, termasuk etika kerja, pengisytiharan harta, tatacara berpakaian, kehadiran bertugas, kerahsiaan maklumat, pekerjaan luar, kegiatan politik, pernyataan awam, percanggahan kepentingan, penerimaan hadiah, gangguan seksual, perlakuan rasuah serta larangan merokok dan vape.

Lebih daripada sekadar dokumen panduan, kod ini merupakan komitmen bersama seluruh warga PLANMalaysia dalam membudayakan nilai integriti dan etika dalam setiap aspek pelaksanaan tugas. Penghayatan dan pematuhan terhadap kod ini diharapkan dapat membentuk warga yang berprinsip, profesional dan berakauntabiliti, seterusnya memperkukuh keyakinan pemegang taruh dan masyarakat terhadap penyampaian perkhidmatan PLANMalaysia.

Justeru, setiap warga PLANMalaysia mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk memahami, menghayati dan mengamalkan nilai serta prinsip yang digariskan dalam Kod Etika dan Tatakelakuan ini sebagai panduan dalam melaksanakan tugas dengan penuh amanah, cekap dan profesional.

Klik DI SINI untuk membaca Kod Etika dan Tatakelakuan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).

FAHAM • HAYATI • AMALKAN

Bersama-sama membudayakan integriti, memperkukuh profesionalisme dan meningkatkan akauntabiliti dalam penyampaian perkhidmatan PLANMalaysia.

 

Dasar Privasi | Dasar Keselamatan | Notis Hakcipta | Penafian |     Data Terbuka    
Paparan terbaik menggunakan Mozilla Firefox versi 50 dan ke atas pada resolusi skrin minimum 1366x768 Hakcipta Terpelihara PLANMalaysia @ 2023