Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
    T
    T
    T

logo-jata
logo-jata

Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN)

Apa itu MPFN?

  1. MAJLIS PERANCANG FIZIKAL NEGARA (MPFN) ditubuhkan di bawah peruntukan Seksyen 2A(1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 19761 (Pindaan) 2001, [Akta A1129] sebagai usaha untuk penyelarasan dan keseimbangan kuasa di antara kerajaan pusat dengan kerajaan-kerajaan negeri dalam hal ehwal perancangan bandar dan desa.
  2. Ini adalah selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menyenaraikan perancangan bandar dan desa di bawah Senarai Bersama di dalam Jadual Kesembilan, di mana kedua-dua kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mempunyai kuasa dalam hal ini.
  3. Majlis ini merupakan Majlis tertinggi yang bertanggungjawab ke atas perancangan bandar dan desa di Semenanjung Malaysia.
  4. MPFN dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri dan dianggotai oleh semua Menteri Besar dan Ketua Menteri serta Menteri-Menteri yang mempunyai tanggungjawab berkaitan perancangan bandar dan desa.
  5. Keahlian MPFN sebagaimana yang diperuntukkan di bawah subseksyen 2A(1) Akta 172 adalah seperti berikut:
  • Seorang Pengerusi, iaitu Perdana Menteri;
  • Seorang Timbalan Pengerusi, iaitu Timbalan Perdana Menteri;
  • Menteri (yang bertanggungjawab bagi perancangan bandar dan desa);
  • Menteri yang bertanggungjawab bagi perumahan dan kerajaan tempatan, jika dia bukan juga Menteri yang bertanggungjawab bagi perancangan bandar dan desa;
  • Menteri Kewangan;
  • Menteri yang bertanggungjawab bagi tanah;
  • Menteri Besar atau Ketua Menteri tiap-tiap Negeri;
  • Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan; dan
  • Tidak lebih daripada tujuh (7) ahli lain yang hendaklah dilantik oleh Pengerusi.

Fungsi MPFN

  1. Fungsi MPFN sebagaimana yang termaktub di bawah subseksyen 2A(2) Akta 172 adalah:
    • Untuk mengalakkan di dalam negara, dalam rangka dasar negara, perancangan bandar dan desa sebagai suatu alat yang berkesan dan efisien bagi memperelok persekitaran dari segi fizikal dan ke arah pencapaian suatu pemajuan yang mampan di dalam negara;
    • Untuk menasihati Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan mana-mana Negeri, mengenai perkara yang berhubungan dengan perancangan bandar dan desa; dan
    • Untuk melaksanakan apa-apa fungsi lain yang diberikan kepada MPFN di bawah Akta 172.
  2. MPFN boleh dari semasa ke semasa memberi Ketua Pengarah PLANMalaysia arahan yang selaras dengan peruntukan Akta 172, dan Ketua Pengarah PLANMalaysia hendaklah menguatkuasakan arahan itu [subseksyen 2A(3) Akta 172].
  3. MPFN juga boleh melaksanakan apa-apa fungsi lain yang bersampingan dengan atau berbangkit daripada apa-apa fungsi yang dinyatakan dalam subseksyen 2A(2), dan melakukan segala perkara yang perlu atau suai manfaat bagi menjalankan fungsinya di bawah Akta 172 [subseksyen 2A(4) Akta 172].
  4. Selaras dengan fungsinya ke arah pembangunan negara yang mampan, MPFN merupakan platform yang penting untuk mencapai keputusan kolektif bagi penyelarasan pembangunan antara negeri-negeri dan negara keseluruhannya.

Pengurusan MPFN

Bagi melancarkan fungsi-fungsinya, MPFN dibantu oleh oleh tiga (3) Jawatankuasa di bawahnya, iaitu:

 

i) Jawatankuasa Kerja MPFN

  • Membincangkan kertas-kertas kerja yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Teknikal MPFN dan Jawatankuasa Kawal Selia MPFN sebelum diangkat untuk pertimbangan MPFN.

  • Peranan Jawatankuasa Kerja ini adalah untuk membantu Majlis menyelaras dan meneliti semua perkara di bawah bidang tanggungjawab Majlis. Oleh itu, ahli jawatankuasa hendaklah membincangkan dan membuat pengesyoran terhadap sesuatu perkara berkenaan sebelum dibawa untuk pertimbangan dan keputusan oleh Majlis (Asas Rujukan MPFN).

  • Dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

 

ii) Jawatankuasa Teknikal MPFN

  • Peringkat pertama pembentangan kertas dasar untuk penilaian secara terperinci dalam aspek prinsip-prinsip perancaangan bagi mendapatkan kelulusan/ persetujuan/ makluman.

  • Dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).

  • Diurussetiakan oleh Bahagian Rancangan Fizikal Negara, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).

 

iii) Jawatankuasa Kawal Selia MPFN

  • Peringkat pertama pembentangan bagi permohonan projek-projek pembangunan mega dan berkepentingan negara untuk mendapatkan nasihat MPFN di bawah subseksyen 22(2A), perenggan 2A(2)(b) atau seksyen 20B Akta 172. Melibatkan penilaian secara terperinci dari segi prinsip-prinsip perancangan, dasar-dasar dan garis panduan-garis panduan yang berkaitan.

  • Dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).

  • Diurussetiakan oleh Bahagian Perundangan dan Kawal Selia Perancangan, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).

Perkara-perkara yang memerlukan pertimbangan majlis

Asas Rujukan MPFN yang telah diluluskan oleh MPFN pertama pada 23 Jun 2003 telah menetapkan bahawa berikut adalah panduan bagi perkara-perkara yang memerlukan pertimbangan dan tindakan Majlis:

  1. Perkara-perkara dasar

 

Ia meliputi, di antara lain, dasar berkaitan perancangan bandar dan desa dan dasar-dasar berkenaan memperelokkan persekitaran dari segi fizikal, iaitu:

  1. dasar baru dan perubahan dasar;

  2. dasar penting yang melibatkan beberapa Kementerian yang memerlukan penyelarasan termasuk dasar-dasar yang mungkin bercanggah atau bertindih;

  3. perkara-perkara yang mungkin menghalang pelaksanaan dasar-dasar; dan

  4. perkara-perkara yang berkaitan perancangan bandar dan desa yang menyentuh kepentingan negara.

 

 

  1. Perkara-perkara yang berkaitan Rancangan Fizikal Negara (RFN)

Ini meliputi:

  1. arahan kepada Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa untuk menyediakan RFN;

  2. menentukan kandungan RFN;

  3. arahan untuk berunding dengan mana-mana pihak berkuasa atau badan lain semasa menyediakan RFN;

  4. arahan untuk mengkaji semula RFN;

  5. laporan kepada Majlis secara berkala tentang pelaksanaan RFN; dan

  6. dasar-dasar terbitan daripada RFN seperti Dasar Perbandaran Negara, Dasar Perancangan Fizikal Desa Negara, Rancangan Fizikal Zon Persisiran Pantai Negara dan Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine.


 

  1. Perkara-perkara yang berkaitan Rancangan Struktur Negeri (RSN)

Ia meliputi:

  1. arahan untuk membuat pemeriksaan baharu keseluruh Negeri;

  2. menetapkan perkara-perkara yang hendak diperiksa;

  3. arahan untuk membuat pemeriksaan baru ke atas sebahagian Negeri sahaja;

  4. menetapkan tempoh untuk menyedia dan menyampaikan laporan pemeriksaan kepada JPN;

  5. perundingan dengan Negeri bagi mendapatkan nasihat dan arahan Majlis dalam menimbangkan draf RSN;

  6. membuat keputusan terhadap draf RSN apabila Jawatankuasa tidak meluluskan draf RSN tersebut dalam tempoh enam bulan; dan

  7. arahan kepada Pengarah Negeri semasa merumus cadangan-cadangan pengubahan rancangan struktur.
     

 

  1. Perkara-perkara yang berkaitan penubuhan Jawatankuasa Perancang Wilayah (JPW)

Ini meliputi:

  1. penubuhan JPW yang melibatkan kawasan yang terletak di dalam dua Negeri atau lebih, selepas berunding dengan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) yang berkenaan; dan

  2. mendapatkan laporan dan maklumat yang berhubung dengan aktiviti-aktiviti JPW.

 

 

  1. Perkara-perkara yang dirujuk oleh Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan

  1. Perkara-perkara berkaitan perancangan bandar dan desa yang dirujuk oleh Kerajaan Negeri. Ini termasuk permohonan kebenaran merancang di bawah Seksyen 22(2A) Akta 172, yang mana JPN hendaklah meminta Majlis memberikan nasihatnya.

  2. Ini juga termasuk permohonan untuk mendapatkan nasihat di bawah Seksyen 20B sama ada oleh Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan.

 

 

  1. Perkara-perkara yang dikemukakan oleh sesebuah jawatankuasa

 

  1. Jawatankuasa yang dimaksudkan di sini termasuklah Majlis atau Jawatankuasa yang ditubuhkan secara pentadbiran atau di bawah undang-undang, dan juga laporan-laporan dari Jawatankuasa Teknikal atau Pasukan-pasukan Petugas.

 


 

  1. Perkara-perkara berkaitan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172)

 

  1. Cadangan untuk meminda Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) hendaklah terlebih dahulu dibentang di Majlis ini sebelum dibawa ke Jemaah Menteri untuk mendapatkan nasihat Majlis;

  2. Cadangan untuk meminda mana-mana undang-undang lain yang menyentuh perancangan bandar dan desa juga hendaklah dibawa ke hadapan Majlis untuk mendapatkan nasihat; dan

  3. Kaedah-kaedah yang disediakan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) oleh Majlis hendaklah dibentang di mesyuarat Majlis.

 

 

  1. Garis Panduan, Piawaian dan Peraturan Perancangan

 

  1. Garis panduan, piawaian dan peraturan yang berkaitan perancangan bandar yang disediakan bagi tujuan keseragaman di antara Negeri-negeri hendaklah dibentang di mesyuarat Majlis.

 

 

  1. Perkara-perkara yang diarah oleh Pengerusi ataupun Majlis

 

  1. Apa-apa perkara yang diarah oleh Pengerusi ataupun Majlis untuk mendapatkan pertimbangan atau pandangan Majlis boleh dikemukakan untuk dibentang di mesyuarat Majlis; dan

  2. Apa-apa perkara berkaitan pelaksanaan Majlis.

 

Kategori kertas kerja MPFN

  1. Terdapat lima (5) kategori kertas kerja MPFN iaitu:

 

  1. Kertas Untuk Kelulusan MPFN

Kertas Dasar berkaitan Rancangan Fizikal Negara untuk mendapatkan kelulusan. (Subseksyen 6B(1), Akta 172).

  1. Kertas Untuk Persetujuan MPFN

Kertas yang dikemukakan bagi mendapatkan pertimbangan dan persetujuan mesyuarat (seperti DRSN).

  1. Kertas Untuk Nasihat MPFN

Kertas yang dikemukakan untuk mendapat nasihat (biasanya melibatkan projek-projek mega) seperti berikut:

[Perenggan 2A(2)(b), Akta 172]

Merujuk kepada fungsi Majlis untuk menasihati Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan mana-mana Negeri, mengenai perkara yang berhubungan dengan perancangan bandar dan desa yang dikehendaki di bawah Akta 172.

  1. Cadangan projek pembangunan yang umum dan tidak mempunyai komponen dan aktiviti pembangunan yang terperinci dan jelas; dan
  2. Cadangan projek ini belum mengemukakan permohonan mendapatkan kelulusan Kebenaran Merancang daripada Pihak Berkuasa Perancangan Tempatan (PBPT)

 

[Seksyen 20B, Akta 172]

Memperuntukkan supaya setiap jabatan atau agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk mendapatkan nasihat Majlis mengenai cadangan pemajuan yang berhubungan dengan –

  • Apa-apa penebusgunaan pinggir laut tidak termasuk penebusgunaan bagi pembinaan jeti atau pemulihan pantai;
  • Apa-apa pembinaan infrastruktur utama negara termasuklah –
  • Lapangan terbang, pelabuhan laut, pelabuhan darat, rangkaian pengangkutan kereta api, lebuh raya, stesen jana kuasa, empangan dan tapak pembuangan sisa toksik; dan
  • Infrastruktur lain yang berkepentingan negara sebagaimana yang ditentukan oleh Majlis.

 

[Subseksyen 22(2A), Akta 172]

  • Pembangunan suatu perbandaran bary bagi penduduk yang melebihi sepuluh ribu, atau meliputi suatu kawasan yang lebih daripada satu ratus hektar, atau kedua-duanya;
  • Suatu pemajuan bagi pembinaan apa-apa infrastruktur atau kemudahan utama; atau
  • Suatu pemajuan yang melibatkan puncak atau lereng bukit dalam kawasan yang ditetapkan sebagai kawasan alam sekitar yang sensitive dalam suatu rancangan pemajuan.
  1. Kertas Untuk Makluman MPFN

Kertas yang dikemukakan akan dibentangkan untuk makluman kepada MPFN.

  1. Alert Paper MPFN

Penyediaan dan pembentangan alert paper kepada MPFN adalah sangat signifikan dan bertujuan untuk:

  1. Memberi kesedaran berhubung isu/ prospek yang berbangkit;
  2. Mengetengahkan isu/ prospek berkaitan perancangan bandar dan desa;
  3. Mengenal pasti penyelesaian ke atas isu/ masalah yang wujud;
  4. Mewujudkan kesediaan (preparedness) sekiranya isu/ masalah yang sama berulang;
  5. Mengelakkan dari isu / masalah yang sama berulang;
  6. Mengenal pasti best practices berkaitan isu yang dikenal pasti;
  7. Memperkasakan fungsi MPFN dan peranan Kementerian serta Jabatan;
  8. Responsif terhadap isu-isu berkaitan komuniti setempat.

 

Alert Paper hendaklah menyentuh isu bersama (common issues) di kebanyakan negeri seperti:

  1. Isu dan Prospek Perancangan Pembangunan Merentasi Sempadan Negeri dan Negara;
  2. Pengekalan Kawasan Pertanian Utama;
  3. Pemuliharaan dan Pencerobohan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS);
  4. Pembinaan infrastruktur utama di KSAS dan Kawasan sensitif sosial;
  5. Penambakan Laut (Land Reclaimation);
  6. Pembangunan di Highland Forest;
  7. Isu perbandaran seperti isu Gated and Guarded Community;
  8. Isu berkaitan alam sekitar;
  9. Pembangunan melibatkan impak sosial;
  10. Isu pelaksanaan Rancangan Pemajuan seperti Rancangan Kawasan Khas Pantai Chenang; dan
  11. Dasar-dasar utama kerajaan yang berkaitan perancangan bandar dan desa.

 

Alert Paper boleh dicadangkan/ disediakan oleh:

  1. MPFN;
  2. Pihak Berkuasa Negeri;
  3. Jawatankuasa Perancang Negeri;
  4. JPBD/ PLANMalaysia Negeri;
  5. Kementerian atau Jabatan Kerajaan lain;
  6. Agensi Awam dan Badan-Badan Profesional; dan
  7. Urus setia MPFN

Rumusan Pelaksanaan MPFN

  1. MPFN mula dilaksanakan sejak 23 Jun 2003; dipengerusikan oleh Perdana Menteri Keempat.

  2. Sebanyak 40 mesyuarat telah diadakan sehingga 2022 melibatkan 264 kertas kerja, melibatkan:

  1. 15 kertas kelulusan
  2. 53 kertas persetujuan
  3. 116 kertas nasihat
    • 38 kertas di bawah perenggan 2A(2)(b)
    • 61 kertas di bawah perenggan 22(2A)(a) melibatkan perbandaran baharu berkeluasan lebih 100 hektar atau penduduk melebihi 10,000 orang atau keduanya;
    • 12 kertas di bawah perenggan 22(2A)(b) melibatkan pembinaan apa-apa infrastruktur atau kemudahan utama;
    • 5 kertas di bawah Seksyen 20B iaitu:

    “20B. (1) Tanpa menjejaskan seksyen 20A, hendaklah menjadi kewajipan tiap-tiap jabatan atau agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk mendapatkan nasihat Majlis mengenai cadangan pemajuan yang berhubungan dengan–

    • apa-apa penebusgunaan pinggir laut tidak termasuk penebusgunaan bagi pembinaan jeti atau pemulihan pantai; dan
    • apa-apa pembinaan infrastruktur utama negara termasuklah—
      • lapangan terbang, pelabuhan laut, pelabuhan darat, rangkaian pengangkutan kereta api, lebuh raya, stesen jana kuasa, empangan dan tapak pembuangan sisa toksik; dan
      • infrastruktur lain yang berkepentingan negara sebagaimana ditentukan oleh Majlis.

     

    (2) Bagi maksud mendapatkan nasihat Majlis di bawah subseksyen (1), jabatan atau agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri hendaklah mengemukakan kepada Majlis cadangan pemajuan itu bersama dengan suatu laporan penilaian impak sosial dan laporan lain sebagaimana yang ditentukan oleh Majlis.”

     

    TIADA sebarang kertas pernah dikemukakan di bawah perenggan 22(2A)(c) iaitu cadangan pemajuan yang melibatkan puncak atau lereng bukit, dalam kawasan yang telah ditetapkan sebagai kawasan alam sekitar yang sensitif (KSAS) dalam suatu rancangan pemajuan.

  4. 64 kertas makluman; dan

  5. 13 kertas Alert Paper, seperti berikut:

Senarai alert paper yang pernah dibentangkan ke MPFN

 

  1. Impak Pemajuan Di Kawasan Tanah Tinggi Cameron Highlands-Kinta-Lojing (MPFN Ke-21; 8 Disember 2014)
  2. Senario dan Implikasi Aktiviti Penambakan Laut di Semenanjung Malaysia (MPFN Ke-22; 28 Mei 2015)
  3. Pembinaan Lebuh Raya dalam Bandar di Kawasan Lembah Klang (MPFN Ke-23; 20 Ogos 2015)
  4. Isu Pembangunan Pangsapuri Perkhidmatan (Serviced Apartment) di Malaysia (MPFN Ke-24; 9 November 2015)
  5. Usaha Perlindungan dan Pemuliharaan Aset Warisan Negara melalui Penetapan Zon Warisan Dalam Perancangan Pembangunan (MPFN Ke-26; 26 April 2017)
  6. Keperluan Penyelarasan Guna Tanah bagi Kawasan Bersempadan Antarabangsa di Sempadan Malaysia –Thailand (MPFN Ke-30; 5 Disember 2018)
  7. Keperluan Pelaksanaan Pemberian Insentif Fiskal Bagi Pemeliharaan Sumber Jaya Alam Semulajadi dan Jaminan Bekalan Makanan di Semenanjung Malaysia (MPFN Ke-31; 18 April 2019)
  8. Memperkukuhkan Infrastruktur Digital Negara dan Penyelarasan dengan Perancangan Spatial Negara (MPFN Ke-36; 27 Oktober 2020)
  9. Keperluan Kajian Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara (MPFN Ke-36; 27 Oktober 2020)
  10. Cadangan Pemetaan dan Penilaian Kawasan Berpotensi Sumber Mineral Negara (MPFN Ke-37; 6 Mei 2021)
  11. Keperluan Penyelarasan Mekanisme Pengurusan Pembangunan bagi Cadangan Pemajuan yang Terletak di Kawasan Bersempadanan (Kajian Kes Wilayah Tanah Tinggi Cameron Highlands - Kinta - Lojing (CEKAL)) (MPFN Ke-38; 5 Julai 2021)
  12. Keperluan Pemerkasaan Komuniti dalam Menangani Ancaman Bencana Geologi Tanah Runtuh (MPFN Ke-37; 5 Julai 2021)
  13. Mengarusperdana Pengurusan Biodiversiti dalam Perancangan Pembangunan Negara (MPFN Ke-40; 20 Julai 2022)
    • Selain daripada kertas Alert Paper ini, Majlis juga pernah menerima Pelaporan Kejadian Tanah Runtuh Di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah, Pulau Pinang yang dibentangkan kepada MPFN Ke-28 (30 Oktober 2017) oleh YAB Ketua Menteri Pulau Pinang.

    • Sehubungan itu, dalam melaksanakan fungsi utamanya untuk menasihati Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan mana-mana Negeri, mengenai perkara yang berhubungan dengan perancangan bandar dan desa dan menggalakkan dalam negara, dalam rangka dasar negara, perancangan bandar dan desa sebagai suatu alat yang berkesan dan efisien bagi memperelok persekitaran dari segi fizikal dan ke arah pencapaian suatu pemajuan yang mampan di dalam negara, secara dasarnya MPFN boleh meminta mana-mana Agensi Kerajaan Persekutuan atau mana-mana Kerajaan Negeri untuk membuat pelaporan sedemikian.


Kemaskini pada 2022-12-22 07:24:41 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page