DPF Desa Negara merupakan dasar pembangunan desa yang pertama di Malaysia berbentuk spatial. DPF Desa Negara 2030 disediakan selaras dengan langkah pertama berdasarkan Pelan Indikatif 9 di dalam RFN Ke-2 yang menyatakan keperluan terhadap sebuah dasar pembangunan desa negara. Dasar ini bertujuan mewujudkan perancangan holistik bagi pembangunan desa dan melengkapkan Dasar Perbandaran Negara yang disediakan untuk kawasan bandar di Malaysia. DPF Desa Negara berbentuk ‘operational plan’ yang merangkumi aspek sosial, ekonomi, alam sekitar, pengangkutan, infrastruktur, utiliti, warisan, pengurusan dan mekanisme pemantauan. DPF Desa Negara ini menyediakan pernyataan dasar, strategi dan langkah-langkah pencapaian mengikut tema dan teras bagi merealisasikan visi pembangunan desa sehingga tahun 2030.
Satu sistem sokongan juga dibangunkan khusus untuk DPF Desa Negara iaitu Characteristics of Rural Malaysia System (CHARMs) yang mengandungi kriteria kemampanan desa, berperanan sebagai alat untuk menyokong membuat keputusan perancangan dan pembangunan desa serta pemantauan pelaksanaan DPF Desa Negara.
Desa
Kawasan selain daripada kawasan bandar, terdiri daripada semua jenis petempatan kampung, pekan dan petempatan kecil lain yang kurang daripada 10,000 penduduk, bercirikan pertanian serta kaya dengan sumber alam semula jadi.
Pekan
Sebuah petempatan kecil bercirikan bandar yang terletak di kawasan luar bandar dengan jumlah penduduk kurang daripada 10,000 orang dan menempatkan aktiviti perdagangan berskala kecil, kemudahan awam dan mempunyai aktiviti mingguan (pasar pagi / tani, pasar sehari atau pasar malam).
PPD
Pusat perkhidmatan desa kepada beberapa buah kampung yang terletak secara berkelompok dengan tampungan penduduk kurang 2,500 orang.
Kampung
Sebuah petempatan tradisi di kawasan desa dan mempunyai ciri-ciri tradisional yang tinggi dari segi sosio budaya dan fizikal.
1) Kampung Tradisional
2) Kampung Nelayan
3) Kampung Tersusun
4) Kampung Atas Air
5) Kampung Orang Asli
6) Petempatan Tanah Rancangan FELDA / FELCRA / RISDA
7) Kampung Baru
8) Petempatan Estet
DPF Desa Negara menterjemahkan dasar-dasar pembangunan desa kepada pelan fizikal yang diintegrasikan dengan Sistem Grid Desa. Sistem ini mampu menyelesaikan masalah sempadan kampung dan membantu dalam penetapan dasar secara spesifik berdasarkan karektor kampung yang berbeza mengikut kategori dan keperluan masing-masing.
Kriteria Tipologi Bagi Grid Desa
Perbandaran Utama (U1)
Perbandaran Sekunder (U2)
Bandar Desa (UR)
Desa Bandar (RU)
Desa Luar Bandar (R5)
Desa Pedalaman (R6)
CHARMs merupakan satu sistem yang dibangunkan khusus untuk DPF Desa Negara bertujuan untuk :
1) Menilai tahap kemampanan kampung
2) Membantu menyokong membuat keputusan agihan sumber
3) Membantu dalam pemantauan pelaksanaan DPF Desa Negara
"DESA SEJAHTERA, NEGARA SEJAHTERA”
Sejahtera bermaksud bebas daripada segala kesusahan, aman sentosa dan makmur. Visi ini dibentuk bagi memberi pandangan atau wawasan kepada desa di masa hadapan yang sejahtera untuk didiami dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan negara. Dalam merealisasikan visi DPF Desa Negara, matlamat penyediaan dasar ini adalah
“Desa Berdaya Huni (livable) dan Berdaya Tahan (resilient)”
Hijau
Harmoni
Dinamis
Teras 1 : Pengurusan Mampan Alam Sekitar Desa
Teras 2 : Pengukuhan Hubungan Simbiotik Bandar - Desa
Teras 3 : Pengukuhan Daya Huni Desa
Teras 4 : Memperkasa Ekonomi Desa
Teras 5 : Pengurusan Desa Berdaya Laksana
TERAS 1 : PENGURUSAN MAMPAN ALAM SEKITAR DESA
Kelestarian pembangunan dan alam sekitar amat penting dalam menjamin kesejahteraan dan keharmonian hidup masyarakat desa khususnya dan rakyat Malaysia umumnya. Pembangunan pesat tanpa menghiraukan kesan negatif kepada alam sekitar dan komuniti desa mampu mempengaruhi keberkesanan program fizikal, sosial dan ekonomi sesuatu kawasan dan hala tuju pembangunan yang telah dirancang. Alam sekitar juga merupakan komponen utama yang memberikan imej kehijauan di kawasan desa. Pengekalan kawasan hutan, tanah pertanian yang subur, lanskap semula jadi seperti gunung-ganang, bukit-bukau, sungai, tasik dan pantai adalah penting untuk menghidupkan suasana kesejahteraan dan ketenangan desa. Manakala, sumber biodiversiti Malaysia yang tinggi nilainya harus dijaga dengan sebaiknya kerana berupaya memberikan peluang ekonomi kepada penduduk desa dan berpotensi untuk diperkenalkan ke seluruh dunia.
TERAS 2 : PENGUKUHAN HUBUNGAN SIMBIOTIK BANDAR - DESA
Perhubungan bandar-desa adalah penting kerana petempatan desa masih bergantung kepada bandar yang mempunyai fungsi-fungsi tertentu yang tidak terdapat di desa. Dalam mewujudkan perhubungan dua hala yang efektif, pekan berperanan sebagai penghubung antara bandar -desa. Rangkaian perhubungan dan aksesibiliti yang efisien juga penting dalam memperkukuhkan hubungan bandar-desa. Selain dapat mempercepatkan pergerakan penduduk, rangkaian pengangkutan juga mampu mengembangkan pasaran produk desa. Lain-lain kepentingan perhubungan bandar-desa adalah:
TERAS 3 : PENGUKUHAN DAYA HUNI DESA
Desa yang berdaya huni adalah sebuah kawasan yang selesa didiami dan mempunyai kehidupan yang sejahtera. Ciri-ciri desa yang mempunyai tahap daya huni adalah keindahan alam dan seni bina, kesuburan kawasan pertanian dan landskap semula jadi serta keselesaan petempatan. Usaha untuk menambah jumlah penduduk di kawasan desa melalui pengekalan ciri-ciri desa menjadi cadangan utama DPF Desa Negara. Dasar ini menyasarkan untuk menjadikan desa sebagai tempat tinggal pilihan kerana faktor keindahan dan ketenangan desa serta disokong oleh peluang pekerjaan dan kemudahan awam yang baik. Sehubungan itu, tahap penyediaan kemudahan asas, infrastruktur dan utiliti serta peluang ekonomi haruslah setaraf dengan kawasan bandar.
TERAS 4 : MEMPERKASA EKONOMI DESA
Dalam menggerakkan ekonomi desa agar mampu menjana pendapatan lumayan dan mampan, pendekatan yang holistik dan bersepadu adalah penting untuk memastikan pembangunan yang seimbang dan tidak menjejaskan nilai-nilai masyarakat serta alam semula jadi di desa. Bagi menyokong pembangunan komuniti desa ke arah yang lebih dinamik, proaktif dan menyeluruh, teras ini akan memfokuskan kepada aspek ekonomi dan sumber jaya desa. Masyarakat desa harus proaktif di dalam pemikiran dan tindakan untuk merealisasikan peranan desa sebagai sumber modal insan, modal fizikal dan sebagai lambang kebudayaan dan jati diri rakyat Malaysia. Masyarakat desa tidak lagi harus dianggap masyarakat ‘subsidi’ kerana terdapat pelbagai sumber jaya yang berpotensi dijana secara mampan.
TERAS 5 : PENGURUSAN DESA BERDAYA LAKSANA
Tanggungjawab, komitmen serta dedikasi setiap organisasi dan penyertaan penuh penduduk desa adalah sangat penting bagi memastikan kejayaan projek dan program pembangunan desa mencapai aspirasi negara untuk menjadi negara maju yang inklusif dan mampan pada masa depan. Tadbir urus desa yang baik akan memperkaya daya saing negara, menjana potensi insan bagi memperkasa prestasi perkhidmatan, menerajui transformasi perkhidmatan, mengekalkan profesionalisme dan memenuhi harapan pihak berkepentingan (stakeholder) terutama penduduk desa dan pelbagai organisasi tempatan. Sistem tadbir urus desa yang baik lazimnya mengambil kira lima faktor utama iaitu fokus kepada penduduk desa, beretika dan ketulusan, akauntabiliti dan integriti, efektif dan efisien serta pengurusan perubahan. Kecemerlangan pembangunan desa amat bergantung kepada amalan tadbir urus yang baik dan sokongan padu pelbagai organisasi dan agensi pelaksana selain penyertaan penduduk desa. Ia melibatkan organisasi di peringkat persekutuan, negeri, daerah dan kepimpinan di peringkat akar umbi iaitu JKKK.
Berdasarkan input daripada pihak kerajaan negeri dan daerah, terdapat sejumlah 17,571 buah kampung di Semenanjung Malaysia dan WP Labuan. DPF Desa Negara 2030 yang disediakan di dalam Fasa 1 ini telah mengenal pasti sebanyak 15,091 buah kampung beserta lokasi spatial dan baki sebanyak 2,480 buah kampung akan dikenal pasti di Fasa 2 (termasuk dengan kampung-kampung di Negeri Sabah dan Sarawak).
Penilaian tahap pencapaian DPF Desa Negara akan dilaksanakan pada tahun 2019 iaitu setelah dua tahun dasar ini diguna pakai. Beberapa program sebaran mengenai langkah-langkah pelaksanaan DPF Desa Negara dan kaedah penilaian akan dijalankan bagi meningkatkan pemahaman agensi dan pihak yang terlibat. Hal ini meliputi agensi dari pelbagai pihak di peringkat persekutuan, negeri, daerah dan tempatan.
DPF Desa Negara berpotensi untuk menangani beberapa isu utama berkaitan pembangunan desa di Malaysia seperti berikut :
CHARMs yang disediakan bersama DPF Desa Negara juga memainkan peranan utama dalam mengukuhkan pengurusan desa. Melalui CHARMs tahap kemampanan kampung dapat diukur dan memudahkan pihak Kerajaan Negeri menyediakan perancangan penambahbaikan terhadap keadaan fizikal, sosial dan ekonomi sesebuah kampung. Hal ini penting bagi memastikan semua kemudahan disediakan mengikut keperluan semasa dan potensi kampung untuk dibangunkan sepenuhnya bagi memberi impak positif kepada penduduk desa. Penyediaan DPF Desa Negara ini juga mampu menyokong pencapaian aspirasi kerajaan yang juga selaras dengan visi Desa Sejahtera, Negara Sejahtera.