Putrajaya, 20 Mac 2023 - YBhg. Datuk M Noor Azman bin Taib, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang mewakili Yang Berhormat Menteri Tuan Nga Kor Ming telah merasmikan Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia 2023 dan menyempurnakan pra perlancaran Dashboard Indeks Kebahagiaan Bandar Malaysia di Zenith Hotel Putrajaya. Sambutan yang diraikan pada 20 Mac setiap tahun ini bertujuan mengiktiraf hubung kait di antara keseimbangan pembangunan fizikal, sosial dan alam sekitar ke arah kebahagiaan dan kesejahteraan penduduk sejagat. YBhg. Datuk M Noor Azman bin Taib menyatakan bahawa Kajian Indeks Kebahagiaan ini telah melibatkan soal selidik kepada 42,000 responden bagi 117 PBT di Semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan (Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan) dan Negeri Sabah. Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada 92 bandar (79%) yang mencapai status mampan dengan skor melebihi 80 peratus dan 25 bandar (21%) yang mencatat peratus sederhana bahagia dengan skor antara 50%-79%. Dalam majlis sambutan ini, YBhg. Datuk M Noor Azman bin Taib telah menyampaikan penghargaan kepada 10 Bandar Bahagia di Malaysia yang mendapat skor indeks kebahagiaan paling tinggi pada tahun 2022.