SESI TAKLIMAT RANG UNDANG-UNDANG PEMBAHARUAN SEMULA BANDAR (RUU PSB) BERSAMA AHLI PARLIMEN
KUALA LUMPUR, 25 Ogos 2025 – YB Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mengadakan sesi taklimat bersama Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara di Dewan Banquet, Parlimen Malaysia berhubung Cadangan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB).
Dalam sesi ini, YBhg. Datuk TPr Dr. Alias bin Rameli, Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa, turut membuat pembentangan yang menghuraikan latar belakang, objektif, prinsip utama serta implikasi pelaksanaan RUU PSB. Taklimat tersebut berfungsi sebagai platform penting untuk mendapatkan pandangan, maklum balas dan cadangan penambahbaikan daripada Ahli Parlimen agar RUU ini benar-benar bersifat inklusif, praktikal dan sejajar dengan aspirasi negara sebelum dibentangkan secara rasmi di Parlimen.
KUALA LUMPUR, 21 Ogos 2025 – Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Nga Kor Ming, telah mengesahkan bahawa RUU PSB akan dibentangkan di Parlimen mengikut jadual yang ditetapkan. Pengesahan ini dibuat selepas bacaan pertama RUU PSB di Dewan Rakyat, serta selepas pertemuan beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JKP) Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi, YB Haji Yusuf bin Abd Wahab.
Menurut beliau, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen telah mencapai kata sepakat supaya RUU PSB diteruskan untuk dibentangkan, dengan mengambil kira beberapa cadangan penambahbaikan yang akan diketengahkan semasa sesi perbahasan.
RUU PSB 2025 digubal bagi memastikan kawasan perumahan lama yang uzur, daif dan usang dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil dan inklusif demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan bandar yang mampan.
Sumber gambar: KPKT
Bersama kita jayakan RUU PSB demi bandar yang lebih mampan, inklusif dan sejahtera untuk semua rakyat Malaysia.
Untuk maklumat lanjut dan Soalan Lazim (FAQ) berkenaan RUU PSB, sila layari:
FAQ RUU PSB – PLANMalaysia
Ikuti info terkini dan pantas di Facebook rasmi PLANMalaysia:
facebook.com/PLANMalaysia