Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
    T
    T
    T

logo-jata
logo-jata

MESYUARAT MAJLIS PERANCANG FIZIKAL NEGARA (MPFN) KE-49 (BIL.3/2025)

 

PUTRAJAYA, 13 Oktober 2025 – Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-49 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, hari ini telah mempertimbangkan enam (6) kertas kerja yang merangkumi empat (4) kertas persetujuan dan dua (2) kertas makluman.

Antara keputusan utama yang dicapai ialah persetujuan terhadap Garis Panduan Perancangan Sekolah Vertikal di Skim Perumahan Berbilang Tingkat yang disediakan oleh PLANMalaysia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Garis panduan baharu ini dilihat sebagai satu pendekatan inovatif dan berimpak tinggi dalam usaha mengoptimumkan penggunaan tanah di kawasan bandar melalui pembangunan sekolah bertingkat yang inklusif dan mesra komuniti. Inisiatif ini turut menyokong aspirasi Malaysia MADANI ke arah transformasi sistem pendidikan bandar yang mampan dan moden.

Mesyuarat turut mengambil maklum dua pembentangan penting iaitu:

  • Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menetapkan hala tuju pembangunan ibu negara sebagai sebuah bandar raya inklusif, mampan dan berdaya huni menjelang tahun 2040; dan

  • Kajian Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya 2040 (Highway Network Development Plan – HNDP 2040) bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR). Kajian ini meliputi 127 projek jalan raya sepanjang 2,388.32 kilometer yang bertujuan meningkatkan akses luar bandar dan keseimbangan pembangunan wilayah.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri menegaskan keperluan untuk memastikan pembangunan negara dilaksanakan secara menyeluruh dan seimbang, bukan hanya tertumpu di bandar-bandar utama.

“Kemajuan negara mesti dirasai oleh semua, termasuk masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman. Pembangunan yang inklusif adalah asas kepada kemakmuran bersama,” tegas beliau.

Langkah-langkah yang dipersetujui dalam mesyuarat ini dijangka memperkukuh perancangan spatial dan pembangunan mampan negara, sejajar dengan visi Malaysia untuk menjadi negara berdaya saing, sejahtera dan seimbang.


Diterbitkan pada 13 Oktober, 2025 Diterbitkan Oleh Mohd Irwan bin Omar