Tetapan Semula Kecilkan size fontKembalikan saiz font kepada asalMemperbesarkan saiz font
    T
    T
    T
    T
    T
    T

logo-jata
logo-jata

DASAR PERANCANGAN FIZIKAL DESA NEGARA (DPF DESA NEGARA 2030)

Latar Belakang DPF Desa Negara

DPF Desa Negara merupakan dasar pembangunan desa yang pertama di Malaysia berbentuk spatial. DPF Desa Negara 2030 disediakan selaras dengan langkah pertama berdasarkan Pelan Indikatif 9 di dalam RFN Ke-2 yang menyatakan keperluan terhadap sebuah dasar pembangunan desa negara. Dasar ini bertujuan mewujudkan perancangan holistik bagi pembangunan desa dan melengkapkan Dasar Perbandaran Negara yang disediakan untuk kawasan bandar di Malaysia. DPF Desa Negara berbentuk ‘operational plan’ yang merangkumi aspek sosial, ekonomi, alam sekitar, pengangkutan, infrastruktur, utiliti, warisan, pengurusan dan mekanisme pemantauan. DPF Desa Negara ini menyediakan pernyataan dasar, strategi dan langkah-langkah pencapaian mengikut tema dan teras bagi merealisasikan visi pembangunan desa sehingga tahun 2030.

Satu sistem sokongan juga dibangunkan khusus untuk DPF Desa Negara iaitu Characteristics of Rural Malaysia System (CHARMs) yang mengandungi kriteria kemampanan desa, berperanan sebagai alat untuk menyokong membuat keputusan perancangan dan pembangunan desa serta pemantauan pelaksanaan DPF Desa Negara.

Keperluan Penyediaan DPF Desa Negara

  1. Terdapat pelbagai maklumat, kajian dan definisi berkaitan desa yang perlu diselaraskan
  2. Jurang bandar – desa
  3. Kehilangan golongan tenaga kerja yang aktif
  4. Pelbagai ciri desa dan jenis kampung yang perlu dirancang dengan efisien
  5. Aset sumber jaya dan biodiversiti desa tidak digunakan secara mampan
  6. Produk warisan desa tidak dipulihara sebagai tarikan desa
  7. Penghakisan imej dan identiti desa
  8. Kegagalan fungsi PPD sebagai pusat perkhidmatan dan pertumbuhan ekonomi
  9. Pertindihan fungsi dan peruntukan kewangan di pelbagai kementerian dan agensi

Definisi Desa, Pekan, PPD dan Kampung

Desa
Kawasan selain daripada kawasan bandar, terdiri daripada semua jenis petempatan kampung, pekan dan petempatan kecil lain yang kurang daripada 10,000 penduduk, bercirikan pertanian serta kaya dengan sumber alam semula jadi.

Pekan
Sebuah petempatan kecil bercirikan bandar yang terletak di kawasan luar bandar dengan jumlah penduduk kurang daripada 10,000 orang dan menempatkan aktiviti perdagangan berskala kecil, kemudahan awam dan mempunyai aktiviti mingguan (pasar pagi / tani, pasar sehari atau pasar malam).

PPD
Pusat perkhidmatan desa kepada beberapa buah kampung yang terletak secara berkelompok dengan tampungan penduduk kurang 2,500 orang.

Kampung
Sebuah petempatan tradisi di kawasan desa dan mempunyai ciri-ciri tradisional yang tinggi dari segi sosio budaya dan fizikal.

Kategori Kampung di Malaysia

1)    Kampung Tradisional

  • Wujud secara tidak dirancang atau organik.
  • Kampung tradisional di bandar menampung bilangan penduduk yang tinggi dan majoriti terlibat dengan aktiviti perbandaran. Keadaan fizikal kampung kurang teratur dan sesak.
  • Kampung tradisional di desa berdensiti rendah. Taburan petempatan dipengaruhi oleh aktiviti ekonomi setempat seperti pertanian, perlombongan dan sebagainya. Corak adalah berjajar atau berkelompok.
  • Kampung tradisional juga boleh terdapat di pulau-pulau.
  • Majoriti penduduk di kampung tradisional adalah terdiri daripada kaum Melayu dan Cina.

 

2)    Kampung Nelayan

  • Petempatan kampung yang terletak di kuala atau sepanjang sungai, di tepi-tepi pantai dan di pulau-pulau.
  • Majoriti penduduk adalah kaum Melayu dan Cina.
  • Pekerjaan adalah menangkap ikan, membuat perahu dan menjalankan aktiviti berasaskan hasil laut dan sungai.
  • Corak fizikal perkampungan nelayan dipengaruhi oleh faktor semula jadi seperti sungai, muara dan pantai.
  • Keadaan kampung adalah padat.


3)    Kampung Tersusun

  • Kampung yang dirancang berasaskan beberapa sebab seperti penempatan semula kampung, pemberian tanah dan bencana alam.
  • Susun atur kampung yang tersusun.
  • Densiti rendah dan sederhana.
  • Penduduk terlibat dalam pelbagai aktiviti ekonomi.


4)    Kampung Atas Air

  • Terletak di atas air sama ada di sungai, tasik atau laut dan rumah-rumah dibina secara bertiang di atas air.
  • Dihubung oleh jeti atau jambatan kayu.
  • Pelbagai densiti mengikut lokasi.
  • Majoriti penduduk adalah kaum Melayu dan Cina.
  • Pekerjaan adalah menangkap ikan, membuat perahu dan menjalankan aktiviti berasaskan hasil laut dan sungai.


5)    Kampung Orang Asli

  • Merupakan petempatan yang wujud secara tidak terancang dan mempunyai identiti tersendiri.
  • Kebiasaanya jauh di kawasan pedalaman dan berdekatan sungai.
  • Corak petempatan adalah berselerak mengikut suku kaum.
  • Aktiviti pekerjaan sara diri seperti pertanian, mencari hasil hutan, memburu dan menangkap ikan.


6)    Petempatan Tanah Rancangan FELDA / FELCRA / RISDA

  • Petempatan kampung terancang berikutan dari pembangunan tanah secara besar-besaran.
  • Majoriti penduduk adalah kaum Melayu.
  • Konsep asas adalah untuk mewujudkan suatu petempatan yang ‘self-contained’ bertujuan membasmi kemiskinan dan memberi hak milik tanah di kalangan penduduk di kawasan desa.
  • Corak petempatan berbentuk berpusat (concentrated) atau berkelompok.
  • Kepadatan penduduk sederhana tinggi.


7)    Kampung Baru

  • Merupakan petempatan kampung yang wujud pada masa darurat (1948-1960) bagi mengatasi masalah ancaman komunis.
  • Penduduk kaum Cina.
  • Terletak di ladang-ladang getah, kawasan perlombongan bijih timah dan di sekitar bandar-bandar sedia ada.
  • Corak petempatan adalah berpusat dan berbentuk `grid iron’.


8)    Petempatan Estet

  • Rumah pekerja ladang yang disediakan oleh majikan pengurusan ladang.
  • Corak petempatan berkelompok.
  • Majoriti penduduk kaum India.
  • Aktiviti utama sebagai peladang kelapa sawit dan getah.

Sistem Grid Desa

DPF Desa Negara menterjemahkan dasar-dasar pembangunan desa kepada pelan fizikal yang diintegrasikan dengan Sistem Grid Desa. Sistem ini mampu menyelesaikan masalah sempadan kampung dan membantu dalam penetapan dasar secara spesifik berdasarkan karektor kampung yang berbeza mengikut kategori dan keperluan masing-masing.

Kriteria Tipologi Bagi Grid Desa

Perbandaran Utama (U1)

  • Sebahagian daripada kawasan metropolitan dan kawasan perbandaran utama.
  • 90 peratus kawasan tepu bina.
  • Jumlah penduduk melebihi 25,000 orang.
  • Berada di dalam pusat bandar.

Perbandaran Sekunder (U2)

  • Sebahagian dari ibu negeri dan daerah serta bandar utama.
  • 70-90 peratus kawasan tepu bina.
  • Jumlah penduduk 10,000-25,000 orang.
  • Jarak ke pusat bandar terdekat : 5-10 km.

Bandar Desa (UR)

  • Kawasan bandar (pusat petempatan utama) di luar konurbasi utama negara – pinggir bandar.
  • 70-90 peratus kawasan tepu bina.
  • Jumlah penduduk 5,000-10,000 orang.
  • Jarak ke pusat bandar terdekat : 10-20 km.

Desa Bandar (RU)

  • Bandar / pekan (pusat petempatan kecil).
  • 50 peratus kawasan tepu bina.
  • Jumlah penduduk kurang 5,000 orang.
  • Jarak ke pusat bandar terdekat : 20-40 km.

Desa Luar Bandar (R5)

  • Pusat pertumbuhan desa (PPD) dan perkampungan utama.
  • 70 peratus kawasan terdiri daripada hutan dan kawasan pertanian.
  • Jumlah penduduk kurang 2,500 orang.
  • Jarak ke pusat bandar terdekat : 40-50 km

Desa Pedalaman (R6)

  • Kawasan pedalaman dengan bilangan kecil perkampungan.
  • 90 peratus adalah kawasan hutan dan pertanian.
  • Jumlah penduduk kurang 1,000 orang.
  • Jarak ke pusat bandar terdekat : >50 km.

Sistem Ciri-Ciri Desa di MALAYSIA (CHARMs)

CHARMs merupakan satu sistem yang dibangunkan khusus untuk DPF Desa Negara bertujuan untuk :

1)    Menilai tahap kemampanan kampung

  • Mengenal pasti kampung-kampung yang telah mencapai tahap pembangunan yang mencukupi dari aspek kemudahan dan keadaan fizikal.
  • Meningkatkan kualiti hidup masyarakat kampung.

2)    Membantu menyokong membuat keputusan agihan sumber

  • Mengenal pasti kampung-kampung yang memerlukan bantuan penyediaan kemudahan masyarakat dan kemudahan infrastruktur dan utiliti mengikut keutamaan.
  • Memudahkan agensi terlibat untuk menyalurkan bantuan perancangan dan pembangunan desa kepada kumpulan sasar secara lebih telus dan tepat.

3)    Membantu dalam pemantauan pelaksanaan DPF Desa Negara

  • Mengenal pasti tahap pelaksanaan DPF Desa Negara berdasarkan indikator pelaksanaan yang ditetapkan.
  • Membuat penambahbaikan pelaksanaan DPF Desa Negara sekiranya perlu.
  •  

Visi & Matlamat

"DESA SEJAHTERA, NEGARA SEJAHTERA”

Sejahtera bermaksud bebas daripada segala kesusahan, aman sentosa dan makmur. Visi ini dibentuk bagi memberi pandangan atau wawasan kepada desa di masa hadapan yang sejahtera untuk didiami dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan negara. Dalam merealisasikan visi DPF Desa Negara, matlamat penyediaan dasar ini adalah  

“Desa Berdaya Huni (livable) dan Berdaya Tahan (resilient)”

Tema

Hijau

  • Gabungan antara alam semula jadi dan kawasan pertanian memberikan imej hijau kepada kawasan desa.
  • Hutan, sungai, pantai, tasik, tanah tinggi dan gunung-ganang dipelihara.
  • Pengekalan alam semula jadi dan kepelbagaian biodiversiti desa.
  • Aktiviti pertanian secara terkawal.
  • Penggunaan sumber jaya desa secara mampan.
  • Amalan hidup sihat dan hijau.

 

Harmoni

  • Pembangunan / aktiviti manusia yang lebih sensitif dan menekankan kepada pengekalan alam semula jadi.
  • Saling melengkapi / menyokong dan tidak bercanggah.
  • Membentuk suasana yang nyaman dan selesa dihuni.
  • Pemeliharaan imej kawasan desa yang  berkepadatan rendah, komuniti homogenus, suasana tenang dan damai, ikatan sosial yang rapat dan terdapat kepelbagaian reka bentuk seni bina tradisional.

 

Dinamis

  • Aset semula jadi yang terdapat di kawasan desa dibangunkan secara mampan bagi meningkatkan pendapatan dan keselesaan penduduk desa.
  • Fokus kepada agro makanan dan menjadi pengeluar utama bekalan makanan negara.
  • Kepelbagaian peluang ekonomi berasaskan sumber jaya desa.

Teras, Pernyataan Dasar, Strategi dan Langkah

Teras 1 : Pengurusan Mampan Alam Sekitar Desa
Teras 2 : Pengukuhan Hubungan Simbiotik Bandar - Desa
Teras 3 : Pengukuhan Daya Huni Desa
Teras 4 : Memperkasa Ekonomi Desa
Teras 5 : Pengurusan Desa Berdaya Laksana

TERAS 1 : PENGURUSAN MAMPAN ALAM SEKITAR DESA
 
Kelestarian pembangunan dan alam sekitar amat penting dalam menjamin kesejahteraan dan keharmonian hidup masyarakat desa khususnya dan rakyat Malaysia umumnya. Pembangunan pesat tanpa menghiraukan kesan negatif kepada alam sekitar dan komuniti desa mampu mempengaruhi keberkesanan program fizikal, sosial dan ekonomi sesuatu kawasan dan hala tuju pembangunan yang telah dirancang. Alam sekitar juga merupakan komponen utama yang memberikan imej kehijauan di kawasan desa. Pengekalan kawasan hutan, tanah pertanian yang subur, lanskap semula jadi seperti gunung-ganang, bukit-bukau, sungai, tasik dan pantai adalah penting untuk menghidupkan suasana kesejahteraan dan ketenangan desa. Manakala, sumber biodiversiti Malaysia yang tinggi nilainya harus dijaga dengan sebaiknya kerana berupaya memberikan peluang ekonomi kepada penduduk desa dan berpotensi untuk diperkenalkan ke seluruh dunia.

  • 4 Pernyataan Dasar
  • 9 Strategi
  • 24 Langkah

 

TERAS 2 : PENGUKUHAN HUBUNGAN SIMBIOTIK BANDAR - DESA

Perhubungan bandar-desa adalah penting kerana petempatan desa masih bergantung kepada bandar yang mempunyai fungsi-fungsi tertentu yang tidak terdapat di desa. Dalam mewujudkan perhubungan dua hala yang efektif, pekan berperanan sebagai penghubung antara bandar -desa. Rangkaian perhubungan dan aksesibiliti yang efisien juga penting dalam memperkukuhkan hubungan bandar-desa. Selain dapat mempercepatkan pergerakan penduduk, rangkaian pengangkutan juga mampu mengembangkan pasaran produk desa. Lain-lain kepentingan perhubungan bandar-desa adalah:

  1. Menghubungkan  penduduk kepada pekerjaan di bandar.
  2. Mengurangkan migrasi penduduk dari desa ke bandar.
  3. Memudahkan pemasaran hasil pertanian, ekopelancongan dan lain-lain produk keluaran desa sebagai sumber ekonomi.
  4. Menyokong pembangunan pelancongan desa.

 

  • 2 Pernyataan Dasar
  • 4 Strategi
  • 9 Langkah

 

TERAS 3 : PENGUKUHAN DAYA HUNI DESA
 
Desa yang berdaya huni adalah sebuah kawasan yang selesa didiami dan mempunyai kehidupan yang sejahtera. Ciri-ciri desa yang mempunyai tahap daya huni adalah keindahan alam dan seni bina, kesuburan kawasan pertanian dan landskap semula jadi serta keselesaan petempatan. Usaha untuk menambah jumlah penduduk di kawasan desa melalui pengekalan ciri-ciri desa menjadi cadangan utama DPF Desa Negara. Dasar ini menyasarkan untuk menjadikan desa sebagai tempat tinggal pilihan kerana faktor keindahan dan ketenangan desa serta disokong oleh peluang pekerjaan dan kemudahan awam yang baik. Sehubungan itu, tahap penyediaan kemudahan asas, infrastruktur dan utiliti serta peluang ekonomi haruslah setaraf dengan kawasan bandar.

  • 5 Pernyataan Dasar
  • 19 Strategi
  • 52 Langkah


TERAS 4 : MEMPERKASA EKONOMI DESA

Dalam menggerakkan ekonomi desa agar mampu menjana pendapatan lumayan dan mampan, pendekatan yang holistik dan bersepadu adalah penting untuk memastikan pembangunan yang seimbang dan tidak menjejaskan nilai-nilai masyarakat serta alam semula jadi di desa. Bagi menyokong pembangunan komuniti desa ke arah yang lebih dinamik, proaktif dan menyeluruh, teras ini akan memfokuskan kepada aspek ekonomi dan sumber jaya desa. Masyarakat desa harus proaktif di dalam pemikiran dan tindakan untuk merealisasikan peranan desa sebagai sumber modal insan, modal fizikal dan sebagai lambang kebudayaan dan jati diri rakyat Malaysia. Masyarakat desa tidak lagi harus dianggap masyarakat ‘subsidi’ kerana terdapat pelbagai sumber jaya yang berpotensi dijana secara mampan.

  • 3 Pernyataan Dasar
  • 8 Strategi
  • 14 Langkah

 

TERAS 5 : PENGURUSAN DESA BERDAYA LAKSANA

Tanggungjawab, komitmen serta dedikasi setiap organisasi dan penyertaan penuh penduduk desa adalah sangat penting bagi memastikan kejayaan projek dan program pembangunan desa mencapai aspirasi negara untuk menjadi negara maju yang inklusif dan mampan pada masa depan.  Tadbir urus desa yang baik akan memperkaya daya saing negara, menjana potensi insan bagi memperkasa prestasi perkhidmatan, menerajui transformasi perkhidmatan, mengekalkan profesionalisme dan memenuhi harapan pihak berkepentingan (stakeholder) terutama penduduk desa dan pelbagai organisasi tempatan. Sistem tadbir urus desa yang baik lazimnya mengambil kira lima faktor utama iaitu fokus kepada penduduk desa, beretika dan ketulusan, akauntabiliti dan integriti, efektif dan efisien serta pengurusan perubahan. Kecemerlangan pembangunan desa amat bergantung kepada amalan tadbir urus yang baik dan sokongan padu pelbagai organisasi dan agensi pelaksana selain penyertaan penduduk desa. Ia melibatkan organisasi di peringkat persekutuan, negeri, daerah dan kepimpinan di peringkat akar umbi iaitu JKKK.

  • 3 Pernyataan Dasar
  • 6 Strategi
  • 14 Langkah

Rumusan

Berdasarkan input daripada pihak kerajaan negeri dan daerah, terdapat sejumlah 17,571 buah kampung di Semenanjung Malaysia dan WP Labuan. DPF Desa Negara 2030 yang disediakan di dalam Fasa 1 ini telah mengenal pasti sebanyak 15,091 buah kampung beserta lokasi spatial dan baki sebanyak 2,480 buah kampung akan dikenal pasti di Fasa 2 (termasuk dengan kampung-kampung di Negeri Sabah dan Sarawak).

Penilaian tahap pencapaian DPF Desa Negara akan dilaksanakan pada tahun 2019 iaitu setelah dua tahun dasar ini diguna pakai. Beberapa program sebaran mengenai langkah-langkah pelaksanaan DPF Desa Negara dan kaedah penilaian akan dijalankan bagi meningkatkan pemahaman agensi dan pihak yang terlibat. Hal ini meliputi agensi dari pelbagai pihak di peringkat persekutuan, negeri, daerah dan tempatan.

DPF Desa Negara berpotensi untuk menangani beberapa isu utama berkaitan pembangunan desa di Malaysia seperti berikut :

  • Alam sekitar dan biodiversiti di kawasan desa perlu dikekalkan, dipelihara dan dipulihara.
  • Jurang pembangunan antara bandar dan desa dapat diatasi melalui cadangan naik taraf pekan sedia ada dengan pelbagai kemudahan.
  • Kampung-kampung yang terletak berhampiran dengan bandar perlu dikawal daripada ancaman rebakan bandar bagi memelihara imej dan identiti desa.
  • Kepelbagaian sumber jaya desa perlu diperkukuhkan lagi bagi menambah baik peluang dan tahap ekonomi penduduk desa.
  • Pengurusan tadbir desa yang berkesan bergantung kepada kepimpinan yang baik di peringkat kampung dan daerah.

 

CHARMs yang disediakan bersama DPF Desa Negara juga memainkan peranan utama dalam mengukuhkan pengurusan desa. Melalui CHARMs tahap kemampanan kampung dapat diukur dan memudahkan pihak Kerajaan Negeri menyediakan perancangan penambahbaikan terhadap keadaan fizikal, sosial dan ekonomi sesebuah kampung. Hal ini penting bagi memastikan semua kemudahan disediakan mengikut keperluan semasa dan potensi kampung untuk dibangunkan sepenuhnya bagi memberi impak positif kepada penduduk desa. Penyediaan DPF Desa Negara ini juga mampu menyokong pencapaian aspirasi kerajaan yang juga selaras dengan visi Desa Sejahtera, Negara Sejahtera.

Dokumen Perancangan

Nama Dokumen Link Muat Turun
DPF DESA NEGARA - NEGERI
DPF DESA NEGARA - PERSEKUTUAN
LAPORAN DPFDN 2030
LAPORAN RUMUSAN DPFDN
Manual Pengguna Sistem CHARMs
RINGKASAN EKSEKUTIF DPF DESA NEGARA 2030

Kemaskini pada 2022-12-17 00:08:10 daripada Administrator

  •  
  • Print
  • Email this page